Thursday, 4 May 2017

Ku nafi

Semakin jauh aku cuba berlari,
Semakin dekat bayangnya menghampiri
Tiada sedetik yang berlalu dengan percuma tanpa imbasan tentang dia

Sungguh aku rindu
Namun ku sangkal
Dan hati tetap utuh tidak bisa dibohongi
Wajah boleh saja tersenyum
tapi hatimu itu merintih
Ada sesuatu yang ia ingini
Sudah jelas ku ketahui 
tapi tetap kuat ku nafi
Bukan kerana egonya hati 
namun kerana sedar di mana letaknya taraf diri..



Dan sekaranggg mari muntah hijau kerana ayat2 jiwang. 

Image result for let's vomit cartoon

Friday, 10 March 2017

Kisah Dia

Kisah Dia
 ( Kesaksian seorang anak muda)

Cerita bermula dengan kisah seorang kanak- kanak yang imannya mula bertumbuh hasil dari persekutuan anak kecil yang dia hadiri setiap hari minggu. Itupun rekod kehadirannya boleh diumpamakan bagai “chipsmore”, Kerapnya tiada berbanding ada. Di sana, si anak diajar untuk bersandar kepada kekuatan Tuhan Yesus. Dia mula mengenal Yesus dan percaya kepada-Nya. Tahun 2005, dengan umur 12 tahun, dia siap untuk menduduki UPSR, ujian yang mana akan diduduki oleh semua anak yang seumur dengannya. Orang- orang sekeliling menaruh harapan yang sangat tinggi pada dia. Pihak sekolah bahkan melabelkan dia sebagai salah seorang murid harapan. Orang- orang kampung memuja- muja. Dia mula merasakan bebanan dalam membawa semua harapan. Dia lakukan yang terbaik dan belajar semampu dia.

Semua ujian dia duduki, dia jawab tanpa ada rasa curiga. Dia fikir dia mampu kerana dia sudah melakukan yang sehabis baik. Harinya pun tiba. Keputusan yang dinanti akhirnya keluar juga. 1A 3B 1C. Adakah usahanya dibayar bahagia? Tidak! Dia kecewa, cukup kecewa dengan apa yang diperolehinya. Dia rasa itu sangat tidak berbaloi dengan harapan yang diberikan oleh orang- orang disekelilingnya. Itu sama sekali tidak mencukupi untuk usaha yang telah dilakukannya. Harapan orang dia kecewakan. Berasa malu pada diri sendiri dan orang lain, lalu dia membawa diri. Pintu pergaulan ditutup rapat- rapat. Malu bersemuka dengan teman seperjuangan sehingga bersembunyi tatkala terlihat kelibat mereka. Mana tidaknya, mereka sama- sama pernah berjanji untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Rakannya berjaya tapi tidak dia. Dia kecundang! Tiada jawapan yang dapat diberi kepada mereka andai dia disoal. Jadi baiknya dia rasa jika dia bersembunyi.

Dalam kecewanya, dia bertanya “Di mana silapnya dia sehingga dia dihukum sedemikian?. Dia bertekad menjauhkan diri. Lari dari kepercayaannya juga. Tertampar dia dengan kebenaran saat dia merenungi sejarah diri. Dia fikir dia sempurna. Dia fikir dia sudah melakukan segalanya. Tapi tidak!. Dia lupa dia pernah meninggalkan Tuhannya. Dia tinggalkan Tuhannya kerana dia merasa kecewa saat dia tidak dianugerahkan sebagai kanak- kanak contoh bagi persekutuan Sekolah Minggu. Dia tamak. Dia rasa hebat. Dia lakukan usaha tanpa doa. Mungkin kerana dia merasa mampu. Amsal 1:7 Takut akan Tuhan adalah permulaan hikmat dan pengetahuan, tetapi orang bodoh menghina hikmat dan didikan”. Sungguh benar! Siapa dia untuk mengatur Tuhan? Siapa dia untuk merajuk hanya kerana Tuhan tidak memenuhi keinginan hatinya? Siapa juga dia untuk mempertikaikan apa yang Tuhan telah berikan kepadanya?

Berbekalkan kesedaran tersebut, dia teruskan kehidupan pelajarannya. Dia berazam untuk melakukan yang terbaik lagi. Lagi? Ya, lagi! Kali ini bukan dengan harapan. Orang- orang sudah tidak memberi harapan. Bahkan orang tuanya sendiri. Mungkin kerana mereka tidak mahu dikecewakan lagi. Tapi dia tetap tahu orang tuanya inginkan yang terbaik baginya. Jadi tiba masanya untuk dia bersedia bagi menghadapi peperangan yang seterusnya. PMR!

Seorang gurunya, Puan Tanty selalu berkata bahawa salah satu kunci kejayaannya dalam hidup adalah doa. Doa sebanyak yang boleh. Bangun pagi, doa. Sebelum makan, doa. Sebelum tidur, doa. Doa bila- bila saja kau dapat berdoa. Dia jadikan itu sebagai pegangan. Dia juga sangat diberkati dengan satu ayat firman Tuhan yang telah dikongsikan oleh seorang saudaranya.
 “Yohanes 14: 14 Apapun yang kamu minta kepadaku, dalam namaku Aku akan melakukannya.”
Dia tuntut janji Tuhan dalam setiap doanya. Dia juga percaya bahawa Tuhan tidak akan pernah berlaku tidak adil. Tuhan akan memberikan yang terbaik sesuai dengan usaha yang dilakukan. Seorang kawannya memberi kata- kata yang  sangat membantu imannya.
“Kau lakukan bagianmu, AKU akan melakukan bagian-Ku”
Dengan berbekalkan sebaris ayat tersebut, dia terus melakukan bagiannya iaitu tugas dan tanggunggjawabnya. Tapi ia tidak mudah seperti sewaktu dia diberi harapan. Dia duduk seorang diri di dalam bilik pun boleh jadi salah. Orang- orang mengata, “memerap dalam bilik pun bukan belajar. Main handphone je pun”. Dia terluka tapi dia buat tak endah. Dibiarkannya mereka berbicara tentang dia. Bagi dia, tiada gunanya melakukan sesuatu di depan mata mereka jika hanya untuk pujian. Bukan itu upah yang diinginkannya. Harapannya biar keputusan yang akan menunjukkan sebanyak mana dia telah belajar.

Si dia yang merasa masih muda, hidup berjauhan dari ibu bapa dan dijaga oleh datuk neneknya. Tipu jika dia katakan dia tak rindu. Bohong jika dia tidak iri melihat bagaimana rakannya yang lain dapat dijaga oleh si ibu. Namun dia tidak pernah mengeluh. Dia tidak jadikan itu alasan untuk mengatakan bahawa ibu bapanya tidak menyokongnya dalam pembelajaran. Dia percaya, “mereka peduli, mereka sayang dan mereka ada cara mereka sendiri untuk tunjukkan semua itu”. Buktinya, mereka menawarkan ganjaran sebuah komputer riba jika dia berjaya mendapat sekurang-kurangnya 4A dalam PMR. Adakah dia berjaya?

Komputer riba yang menjadi idaman kini milik si dia. Segala usaha dan doa terbayar juga. 5A 2C berjaya dicapainya. Masih dia ingat bagaimana bahagianya dia, betapa manisnya senyuman ibu bapanya dan lucunya riak terkejut wajah orang kampungnya. Syukur hanya bagi Tuhannya Yesus kerana kejayaannya adalah  hasil dari rasa takut akan Dia. Hikmat telah diberikan oleh Tuhannya.

Kebaikan Tuhan terus menyertai kehidupannya. Ia tidak berhenti disitu saja. Saat dia melangkah masuk ke menengah atas, dia memilih untuk masuk ke aliran sains. Keputusan itu menjauhkan lagi jarak dia dari keluarga. Diikutkan juga untuk mengejar yang namanya ilmu. Pernah sekali dia terputus hubungan dari ibu bapanya. Hampir 5 bulan lamanya dia tidak mendengar suara ibu bapanya. Ini keranan ibu bapanya tinggal di kawasan pedalaman dimana tiada rangkaian telefon dan sangat sukar untuk dihubungi. Setiap hari, dia merindui dan terfikir bagaimanakah keselamatan dan keadaan ibu- bapanya. Yang dia dapat lakukan saat itu hanyalah berdoa. Berdoa agar Tuhan sentiasa menjaga keluarganya dan membungkusi mereka dengan kuasa darahNya. Kebaikan Tuhan terserlah lagi disitu. Suatu hari, si dia mendapat panggilan dari ibunya. Si dia yang selama ini merasa kuat dan tidak pernah menangis mengucapkan kata rindu pada ibunya telah tewas. Dia menangis, dia katakan dia rindu.

Dengan berbekalkan kata- kata dorongan dari si ibu, dia bersedia untuk menghadapi satu lagi Peperiksaan besar iaitu SPM. Belajar dalam aliran sains bukanlah satu hal yang mudah dan tipulah kiranya dia katakan tidak pernah terlintas rasa menyesal. Namun dia percaya ada sesuatu yang direncanakan disebalik itu semua.
Masih dia ingat apa yang dilakukannya untuk berjaya. Dia lakukan hal yang sama. Dia berusaha dan dia berdoa. Dia tuntut janji Tuhan. Kenangan manisnya bersama rakan juga tidak pernah dilupakan. Dia masih ingat bagaimana mereka belajar sampai larut malam di dalam dewan. Masih juga dia ingat betapa lajunya larian pecut mereka saat melalui jambatan gelap ke asrama. Tidak dilupakannya juga bagaimana mereka membancuh air kopi daripada air paip untuk berjaga kerana kemudahan asrama yang tidak sempurna. Tiada mereka mengeluh, mereka malah tertawa.
Sekali lagi, dia bahagia. Dia bahagia kerana dapat melihat senyuman diwajah ibu bapanya. Dia bangga kerana dapat menjadi saksi atas kebaikan Tuhannya. Tidak berhenti rasa syukur di hatinya. Apa lagi kebaikan Tuhan dalam hidupnya? SPM! Dia mendapat 5A 3C 1D. Sangat sederhana tapi cukup untuk membuat dia mengucap syukur.

Kisah si dia bukan direka. Bukan juga untuk mendapat pujian serta dibanggakan. Tidak! Maafkan dia andai ada tersalah bahasa. Dia tidak ingin mencuri kemuliaan Tuhannya kerana sudah tidak terhitung ‘hutang’ si dia dengan Tuhannya. Dia merasa tergerak untuk berkongsi dan menceritakan kebaikan Tuhan dalam hidupnya. Dia ingat baris ayat dalam beberapa doanya dulu kala, “Tuhan, aku akan menjadi saksi bagi Engkau, menceritakan kebaikan-Mu jika Engkau……”. Pernah sekali juga dia dibebani akan kerisauan akan kesihatan ibunya. Sekali lagi dia mengucapkan baris ayat tersebut, “Tuhan, berikan kesihatan yang baik bagi ibuku, dan aku akan ceritakan kebaikan Tuhan ini dengan orang lain”.

Kini dia merasa bahawa inilah masanya. Masa untuk dia berbicara dan bercerita meski bukan dengan lidah. Dia ingin semua orang terutamanya anak muda untuk sama- sama merasakan berkat Tuhan. Dia tidak ingin menjadi tamak kerana menyembunyikan rahsia bagi mendapat berkat Tuhan. Yang paling penting adalah dia ingin semua anak- anak merasa bagaimana bahagianya punya perasaan yang tidak dapat diungkapkan saat mereka melihat ibu bapa mereka tersenyum dengan setiap kejayaan mereka. Hai anak muda, tiada lain rahsianya selain mempunyai iman yang teguh dan lakukan usaha. Sedar akan tanggungjawab sendiri. Tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap ibu bapamu dan tanggunggjawab terhadap dirimu sendiri. Ingat juga bahawa Tuhan tidak membantu jika kamu tiada niat membantu dirimu sendiri. DOA + USAHA!! Lihat di dalam Yakobus 2:17
“Demikian juga halnya dengan iman: Jika iman itu tidak disertai perbuatan, maka iman itu pada hakikatnya adalah mati”.
Maksudnya, doa kita menunjukkan iman dan usaha itu adalah perbuatan hasil dari iman kita. Iman dan perbuatan kita ini haruslah seimbang agar kita dapat menghasilkan sesuatu dalam kata lain adalah tidak sia- sia.

Dimanakah keberadaannya si dia sekarang? Menjalani latihan sebagai seorang guru, bakal menjadi seorang guru di masa depan. Guru sama sekali bukan cita- citanya. Namun dia turutkan kerana apa? Kerana dulu dia pernah berdoa, “Tuhan, bimbinglah langkahku. Biarlah apa yang aku lakukan adalah sesuai dengan kehendak dan rencana-Mu”. Tuhan berkerja lagi dalam hidupnya. Jadi dia yakin menjadi guru adalah panggilan Tuhan dan itu bukan kebetulan. Meski dia sendiri masih kurang jelas, namun dia percaya dengan rencana Tuhan ke atas hidupnya seperti mana yang sudah dijanjikan dia dalam Yeremia 29:11
“sebab Aku ini mengetahui rancangan- rancangan apa yang ada pada- Ku mengenai kamu, demikianlah firman Tuhan, yaitu rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan, untuk memberikan kepadamu hari depan yang penuh harapan”.
 Perjalanannya masih jauh, masih tidak mudah. Jadi dia hanya berharap agar Tuhan terus bersamanya.
‘Jika Tuhan membawa dia kesini, maka Tuhan akan membawa dia mengharungi.”
Renungi juga janji Tuhan di dalam Ulangan 28: 13- 14
“ Tuhan akan mengangkat engkau menjadi kepala dan bukan menjadi ekor, engkau akan tetap naik dan bukan turun, apabila engkau mendengarkan perintah Tuhan, Allahmu, yang kusampaikan pada hari ini kau lakukan dengan setia,
Dan apabila engkau tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri dari segala perintah yang kuberikan kepadamu pada hari ini, dengan mengikuti allah lain dan beribadah kepadanya”.

Si dia bergelar Yusnitha Merang, anak kecil yang pernah merajuk kebudakkan dengan Tuhan namun Tuhan tidak berhenti menyertainya kini ingin memberitakan segala kebaikkan serta kasih setia Tuhan yang tidak pernah berkesudahan dalam kehidupannya. Malahan ini hanya secubit dari kisah kebaikan Tuhan dalam hidup saya. Masih banyak yang belum diceritakan dan perlu dikongsikan. Mungkin bagi sesetengah orang, cerita ini hal biasa. Tetapi tidak bagi dia kerana dia datang dari keluarga yang mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat- sangat sederhana. Namun kesederhanaan itu membawa erti yang sangat besar di mata Tuhan sehingga Tuhan sanggup melimpahkan karunia-Nya ke atas dia. Jadi anak- anak Tuhan, Rendahkan diri kita di hadapan Tuhan, maka kita akan ditinggikan. Jangan tutup diri anda dari merasakan berkat Tuhan. Syukur dan segala kemuliaan hanya bagi Tuhan kita, Yesus Kristus.