Kisah
Dia
( Kesaksian seorang anak muda)
( Kesaksian seorang anak muda)
Cerita
bermula dengan kisah seorang kanak- kanak yang imannya mula bertumbuh hasil
dari persekutuan anak kecil yang dia hadiri setiap hari minggu. Itupun rekod
kehadirannya boleh diumpamakan bagai “chipsmore”, Kerapnya tiada berbanding
ada. Di sana, si anak diajar untuk bersandar kepada kekuatan Tuhan Yesus. Dia
mula mengenal Yesus dan percaya kepada-Nya. Tahun 2005, dengan umur 12 tahun,
dia siap untuk menduduki UPSR, ujian yang mana akan diduduki oleh semua anak
yang seumur dengannya. Orang- orang sekeliling menaruh harapan yang sangat
tinggi pada dia. Pihak sekolah bahkan melabelkan dia sebagai salah seorang
murid harapan. Orang- orang kampung memuja- muja. Dia mula merasakan bebanan
dalam membawa semua harapan. Dia lakukan yang terbaik dan belajar semampu dia.
Semua
ujian dia duduki, dia jawab tanpa ada rasa curiga. Dia fikir dia mampu kerana
dia sudah melakukan yang sehabis baik. Harinya pun tiba. Keputusan yang dinanti
akhirnya keluar juga. 1A 3B 1C. Adakah usahanya dibayar bahagia? Tidak! Dia
kecewa, cukup kecewa dengan apa yang diperolehinya. Dia rasa itu sangat tidak
berbaloi dengan harapan yang diberikan oleh orang- orang disekelilingnya. Itu
sama sekali tidak mencukupi untuk usaha yang telah dilakukannya. Harapan orang
dia kecewakan. Berasa malu pada diri sendiri dan orang lain, lalu dia membawa
diri. Pintu pergaulan ditutup rapat- rapat. Malu bersemuka dengan teman
seperjuangan sehingga bersembunyi tatkala terlihat kelibat mereka. Mana
tidaknya, mereka sama- sama pernah berjanji untuk mendapat keputusan yang
cemerlang. Rakannya berjaya tapi tidak dia. Dia kecundang! Tiada jawapan yang
dapat diberi kepada mereka andai dia disoal. Jadi baiknya dia rasa jika dia
bersembunyi.
Dalam
kecewanya, dia bertanya “Di mana silapnya dia sehingga dia dihukum sedemikian?.
Dia bertekad menjauhkan diri. Lari dari kepercayaannya juga. Tertampar dia
dengan kebenaran saat dia merenungi sejarah diri. Dia fikir dia sempurna. Dia
fikir dia sudah melakukan segalanya. Tapi tidak!. Dia lupa dia pernah
meninggalkan Tuhannya. Dia tinggalkan Tuhannya kerana dia merasa kecewa saat
dia tidak dianugerahkan sebagai kanak- kanak contoh bagi persekutuan Sekolah
Minggu. Dia tamak. Dia rasa hebat. Dia lakukan usaha tanpa doa. Mungkin kerana
dia merasa mampu. Amsal 1:7 Takut akan Tuhan adalah permulaan hikmat dan
pengetahuan, tetapi orang bodoh menghina hikmat dan didikan”. Sungguh benar!
Siapa dia untuk mengatur Tuhan? Siapa dia untuk merajuk hanya kerana Tuhan tidak
memenuhi keinginan hatinya? Siapa juga dia untuk mempertikaikan apa yang Tuhan
telah berikan kepadanya?
Berbekalkan
kesedaran tersebut, dia teruskan kehidupan pelajarannya. Dia berazam untuk
melakukan yang terbaik lagi. Lagi? Ya, lagi! Kali ini bukan dengan harapan.
Orang- orang sudah tidak memberi harapan. Bahkan orang tuanya sendiri. Mungkin
kerana mereka tidak mahu dikecewakan lagi. Tapi dia tetap tahu orang tuanya
inginkan yang terbaik baginya. Jadi tiba masanya untuk dia bersedia bagi
menghadapi peperangan yang seterusnya. PMR!
Seorang
gurunya, Puan Tanty selalu berkata bahawa salah satu kunci kejayaannya dalam
hidup adalah doa. Doa sebanyak yang boleh. Bangun pagi, doa. Sebelum makan,
doa. Sebelum tidur, doa. Doa bila- bila saja kau dapat berdoa. Dia jadikan itu
sebagai pegangan. Dia juga sangat diberkati dengan satu ayat firman Tuhan yang
telah dikongsikan oleh seorang saudaranya.
“Yohanes 14: 14 Apapun yang kamu minta
kepadaku, dalam namaku Aku akan melakukannya.”
Dia
tuntut janji Tuhan dalam setiap doanya. Dia juga percaya bahawa Tuhan tidak
akan pernah berlaku tidak adil. Tuhan akan memberikan yang terbaik sesuai
dengan usaha yang dilakukan. Seorang kawannya memberi kata- kata yang sangat membantu imannya.
“Kau
lakukan bagianmu, AKU akan melakukan bagian-Ku”
Dengan
berbekalkan sebaris ayat tersebut, dia terus melakukan bagiannya iaitu tugas
dan tanggunggjawabnya. Tapi ia tidak mudah seperti sewaktu dia diberi harapan.
Dia duduk seorang diri di dalam bilik pun boleh jadi salah. Orang- orang
mengata, “memerap dalam bilik pun bukan belajar. Main handphone je pun”. Dia
terluka tapi dia buat tak endah. Dibiarkannya mereka berbicara tentang dia.
Bagi dia, tiada gunanya melakukan sesuatu di depan mata mereka jika hanya untuk
pujian. Bukan itu upah yang diinginkannya. Harapannya biar keputusan yang akan
menunjukkan sebanyak mana dia telah belajar.
Si
dia yang merasa masih muda, hidup berjauhan dari ibu bapa dan dijaga oleh datuk
neneknya. Tipu jika dia katakan dia tak rindu. Bohong jika dia tidak iri
melihat bagaimana rakannya yang lain dapat dijaga oleh si ibu. Namun dia tidak
pernah mengeluh. Dia tidak jadikan itu alasan untuk mengatakan bahawa ibu
bapanya tidak menyokongnya dalam pembelajaran. Dia percaya, “mereka peduli,
mereka sayang dan mereka ada cara mereka sendiri untuk tunjukkan semua itu”.
Buktinya, mereka menawarkan ganjaran sebuah komputer riba jika dia berjaya
mendapat sekurang-kurangnya 4A dalam PMR. Adakah dia berjaya?
Komputer
riba yang menjadi idaman kini milik si dia. Segala usaha dan doa terbayar juga.
5A 2C berjaya dicapainya. Masih dia ingat bagaimana bahagianya dia, betapa
manisnya senyuman ibu bapanya dan lucunya riak terkejut wajah orang kampungnya.
Syukur hanya bagi Tuhannya Yesus kerana kejayaannya adalah hasil dari rasa takut akan Dia. Hikmat telah
diberikan oleh Tuhannya.
Kebaikan
Tuhan terus menyertai kehidupannya. Ia tidak berhenti disitu saja. Saat dia
melangkah masuk ke menengah atas, dia memilih untuk masuk ke aliran sains.
Keputusan itu menjauhkan lagi jarak dia dari keluarga. Diikutkan juga untuk
mengejar yang namanya ilmu. Pernah sekali dia terputus hubungan dari ibu
bapanya. Hampir 5 bulan lamanya dia tidak mendengar suara ibu bapanya. Ini
keranan ibu bapanya tinggal di kawasan pedalaman dimana tiada rangkaian telefon
dan sangat sukar untuk dihubungi. Setiap hari, dia merindui dan terfikir
bagaimanakah keselamatan dan keadaan ibu- bapanya. Yang dia dapat lakukan saat
itu hanyalah berdoa. Berdoa agar Tuhan sentiasa menjaga keluarganya dan
membungkusi mereka dengan kuasa darahNya. Kebaikan Tuhan terserlah lagi disitu.
Suatu hari, si dia mendapat panggilan dari ibunya. Si dia yang selama ini
merasa kuat dan tidak pernah menangis mengucapkan kata rindu pada ibunya telah
tewas. Dia menangis, dia katakan dia rindu.
Dengan
berbekalkan kata- kata dorongan dari si ibu, dia bersedia untuk menghadapi satu
lagi Peperiksaan besar iaitu SPM. Belajar dalam aliran sains bukanlah satu hal
yang mudah dan tipulah kiranya dia katakan tidak pernah terlintas rasa
menyesal. Namun dia percaya ada sesuatu yang direncanakan disebalik itu semua.
Masih
dia ingat apa yang dilakukannya untuk berjaya. Dia lakukan hal yang sama. Dia
berusaha dan dia berdoa. Dia tuntut janji Tuhan. Kenangan manisnya bersama
rakan juga tidak pernah dilupakan. Dia masih ingat bagaimana mereka belajar
sampai larut malam di dalam dewan. Masih juga dia ingat betapa lajunya larian
pecut mereka saat melalui jambatan gelap ke asrama. Tidak dilupakannya juga
bagaimana mereka membancuh air kopi daripada air paip untuk berjaga kerana
kemudahan asrama yang tidak sempurna. Tiada mereka mengeluh, mereka malah
tertawa.
Sekali
lagi, dia bahagia. Dia bahagia kerana dapat melihat senyuman diwajah ibu
bapanya. Dia bangga kerana dapat menjadi saksi atas kebaikan Tuhannya. Tidak
berhenti rasa syukur di hatinya. Apa lagi kebaikan Tuhan dalam hidupnya? SPM!
Dia mendapat 5A 3C 1D. Sangat sederhana tapi cukup untuk membuat dia mengucap
syukur.
Kisah
si dia bukan direka. Bukan juga untuk mendapat pujian serta dibanggakan. Tidak!
Maafkan dia andai ada tersalah bahasa. Dia tidak ingin mencuri kemuliaan
Tuhannya kerana sudah tidak terhitung ‘hutang’
si dia dengan Tuhannya. Dia merasa tergerak untuk berkongsi dan menceritakan
kebaikan Tuhan dalam hidupnya. Dia ingat baris ayat dalam beberapa doanya dulu
kala, “Tuhan, aku akan menjadi saksi bagi Engkau, menceritakan kebaikan-Mu jika
Engkau……”. Pernah sekali juga dia dibebani akan kerisauan akan kesihatan
ibunya. Sekali lagi dia mengucapkan baris ayat tersebut, “Tuhan, berikan
kesihatan yang baik bagi ibuku, dan aku akan ceritakan kebaikan Tuhan ini
dengan orang lain”.
Kini
dia merasa bahawa inilah masanya. Masa untuk dia berbicara dan bercerita meski
bukan dengan lidah. Dia ingin semua orang terutamanya anak muda untuk sama-
sama merasakan berkat Tuhan. Dia tidak ingin menjadi tamak kerana
menyembunyikan rahsia bagi mendapat berkat Tuhan. Yang paling penting adalah
dia ingin semua anak- anak merasa bagaimana bahagianya punya perasaan yang
tidak dapat diungkapkan saat mereka melihat ibu bapa mereka tersenyum dengan setiap
kejayaan mereka. Hai anak muda, tiada lain rahsianya selain mempunyai iman yang
teguh dan lakukan usaha. Sedar akan tanggungjawab sendiri. Tanggungjawab
terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap ibu bapamu dan tanggunggjawab terhadap
dirimu sendiri. Ingat juga bahawa Tuhan tidak membantu jika kamu tiada niat
membantu dirimu sendiri. DOA + USAHA!! Lihat di dalam Yakobus 2:17
“Demikian
juga halnya dengan iman: Jika iman itu tidak disertai perbuatan, maka iman itu
pada hakikatnya adalah mati”.
Maksudnya,
doa kita menunjukkan iman dan usaha itu adalah perbuatan hasil dari iman kita.
Iman dan perbuatan kita ini haruslah seimbang agar kita dapat menghasilkan
sesuatu dalam kata lain adalah tidak sia- sia.
Dimanakah
keberadaannya si dia sekarang? Menjalani latihan sebagai seorang guru, bakal
menjadi seorang guru di masa depan. Guru sama sekali bukan cita- citanya. Namun
dia turutkan kerana apa? Kerana dulu dia pernah berdoa, “Tuhan, bimbinglah
langkahku. Biarlah apa yang aku lakukan adalah sesuai dengan kehendak dan
rencana-Mu”. Tuhan berkerja lagi dalam hidupnya. Jadi dia yakin menjadi guru
adalah panggilan Tuhan dan itu bukan kebetulan. Meski dia sendiri masih kurang
jelas, namun dia percaya dengan rencana Tuhan ke atas hidupnya seperti mana
yang sudah dijanjikan dia dalam Yeremia 29:11
“sebab
Aku ini mengetahui rancangan- rancangan apa yang ada pada- Ku mengenai kamu,
demikianlah firman Tuhan, yaitu rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan
kecelakaan, untuk memberikan kepadamu hari depan yang penuh harapan”.
Perjalanannya masih jauh, masih tidak mudah.
Jadi dia hanya berharap agar Tuhan terus bersamanya.
‘Jika
Tuhan membawa dia kesini, maka Tuhan akan membawa dia mengharungi.”
Renungi
juga janji Tuhan di dalam Ulangan 28: 13- 14
“
Tuhan akan mengangkat engkau menjadi kepala dan bukan menjadi ekor, engkau akan
tetap naik dan bukan turun, apabila engkau mendengarkan perintah Tuhan,
Allahmu, yang kusampaikan pada hari ini kau lakukan dengan setia,
Dan
apabila engkau tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri dari segala perintah yang
kuberikan kepadamu pada hari ini, dengan mengikuti allah lain dan beribadah
kepadanya”.
Si
dia bergelar Yusnitha Merang, anak kecil yang pernah merajuk kebudakkan dengan
Tuhan namun Tuhan tidak berhenti menyertainya kini ingin memberitakan segala
kebaikkan serta kasih setia Tuhan yang tidak pernah berkesudahan dalam
kehidupannya. Malahan ini hanya secubit dari kisah kebaikan Tuhan dalam hidup
saya. Masih banyak yang belum diceritakan dan perlu dikongsikan. Mungkin bagi
sesetengah orang, cerita ini hal biasa. Tetapi tidak bagi dia kerana dia datang
dari keluarga yang mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat- sangat sederhana.
Namun kesederhanaan itu membawa erti yang sangat besar di mata Tuhan sehingga
Tuhan sanggup melimpahkan karunia-Nya ke atas dia. Jadi anak- anak Tuhan,
Rendahkan diri kita di hadapan Tuhan, maka kita akan ditinggikan. Jangan tutup
diri anda dari merasakan berkat Tuhan. Syukur dan segala kemuliaan hanya bagi
Tuhan kita, Yesus Kristus.